Tajuk: Peranan Kaunselor di Sekolah Menengah.
Pengenalan
Sekarang ini terdapat satu jawatan khas di sekolah menengah iaitu Kaunselor.
Kaunselor berperanan dan bertanggungjawab dalam usaha mengembangkan segala
potensi yang ada pada seseorang pelajar itu semasa dia di sekolah. Di sekolah
menengah bimbingan dan kaunseling merupakan satu tanggungjawab yang besar
yang perlu dimainperanankan oleh seseorang kaunselor.
Setiap rancangan pendidikan seharusnya beroperasi dengan andaian
bahawa setiap penuntut mestilah berusaha untuk mencapai perkembangan peribadi
yang maksimum. Perkhidmatan pendidikan mestilah mengiktiraf matlamat-matlamat
peribadi setiap pelajar dan menolong mereka membuat rumusan dengan
jelas dan realistik. Dalam usaha memenuhi hak-hak pelajar itu, mereka yang
terlibat mungkn akan menghadapi beberapa masalah dan halangan. Perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling yang merupakan aktiviti yang tersusun akan menolong
pelajar meneliti, menilai dan memilih matlamat peribadi yang realistik
serta memastikan mencapai matlamat yang mereka perlukan.
Sebagai seorang kaunselor di sekolah menengah,
ia berperanan menyelaras semua aktiviti bimbingan dan kaunseling dengan
disokongbantu oleh aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
Mengikut Kementerian Pendidikan Malaysia yang dicatatkan dalam
buku Panduan Perlaksanaan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah ada
menggariskan beberapa prinsip. Antaranya, bimbingan dan kaunseling adalah
merupakan proses pendidikan, iaitu proses yang dirancang dan berterusan.
Para pelajar didik mempelajari pengalaman, nilai, sikap dan tingkahlaku
yang sesuai dengan masyarakat majmuk di Malaysia.
Perkhidmatan yang diberi kepada semua pelajar
bagi mendapatkan peluang pertolongan khidmat bimbingan ini tanpa mengira
bangsa dan agama. Mereka berhak mendapat pertolongan ini apabila mereka
perlu terutama dalam masa-masa menuju proses perkembangannya. Mereka dilayan
untuk perkembangan potensi dan kebolehannya supaya berkembang dengan kadar
yang sepatutnya mengikut tahap-tahap dan perkembangannya.
Para pelajar akan dibantu memahami dirinya,
diri orang lain dengan mendalam dan menerokai tujuan hidupnya. Di samping
menolong mereka memilih serta merancangkan hidupnya dengan
berkesan dengan berorientasikan masa depan dan masa kini. Oleh itu pelajar
akan tegas diri, boleh menyesuaikan diri serta memahami implikasi tindak-tanduknya
masa kini dan masa hadapan. Para pelajar diharap akan menyedari kelemahannya
dan kemudian dibantu mengukuhkan kekuatan-kekuatan kendirinya melalui aktiviti
pencegahan.
Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling
adalah menjadi tugas bersama terutama semasa melaksanakan program dan aktiviti
bimbingan di sekolah. Para guru, pihak sekolah, ibu bapa, dan rakan-rakan
sebaya patut berkerjasama. Maklumat yang banyak perlu disebarkan kepada
pelajar. Justeru itu kaunselor hendaklah mengenali diri pelajarnya dari
memahami pelajar itu secara menyeluruh.
Beberapa perkara yang perlu dikaji sebagai
persediaan awal saya menghadapi tugas sebagai kaunselor di sekolah menengah
seperti populasi di sekolah, perkembangan sedia ada kaunseling di sekolah
berkenaan, masalah-masalah terdapat di sekolah, apakah peranan yang boleh
mainkan sebagai seorang kaunselor dan kesan kehadirannya sebagai kaunselor
di sekolah tersebut.
Populasi
Dari segi populasi warga sekolah menengah biasanya terdiri antara
800 hingga 2000 orang pelajar. Bagi sekolah menengah gred A mempunyai pelajar
lebih 1200 orang, 80 orang guru dan 10 orang kakitangan. Sementara sekolah
menengah gred B pula pelajar dalam lingkungan 800 orang hingga 1200 orang,
guru 40 orang dan staf 6 orang. Pelajar sekolah menengah terdiri dari pelajar
yang meningkat remaja dari umur 13 hingga 19 tahun. Sekolah harian biasa
atau asrama penuh biasa mempunyai pelajar kedua jantina. Sekolah campuran
atau satu jantina sahaja mempunyai permasalahan tersendiri yang perlu diselesaikan
oleh seseorang kaunselor. Ini merupakan cabaran kepada kaunselor
kerana pelajar sekolah menengah ini merupakan pelajar remaja yang mengalami
perubahan psikologi yang mendadak menuju alam kedewasaan. Pelbagai masalah
wujud di kalangan pelajar, guru dan staff di sekolah menjadikan kaunselor
perlu berperanan sebagai orang tengah dan pencipta keharmonian di sekolah.
Perkembangan Semasa Bimbingan Dan
Kaunseling Di Sekolah.
Langkah awal kaunselor ialah mempastikan bimbingan dan kaunseling
telah berjalan di sekolah. Perlaksanaan bimbingan dan kaunseling telah
berjalan atau belum, kemudahan bilik kaunseling, guru-guru kaunseling,
jawatankuasa bimbingan dan kaunseling, pembimbingan rakan sebaya dan tahap
pengetahuan mengenai bimbingan dan kaunseling di sekolah tersebut. Selalunya
di sekolah menengah, bimbingan dan kaunseling sedia wujud tetapi cuma pengurusan
adakalanya tidak sempurna kerana ketiadaan kaunselor yang berkelayakan.
Mengenalpasti Masalah-Masalah Yang
Wujud.
Kaunselor juga harus mengkaji masalah-masalah yang terdapat di
sekolah supaya program kaunseling yang diatur memberi manfaat kepada warga
sekolah dan masyarakat sekitar. Perancangan sesuatu program merupakan satu
proses menentukan keperluan penerima. Di sekolah keutamaan hendaklah diberi
kepada usaha-usaha memenuhi keperluan pelajar, disamping keperluan mereka
yang mempunyai keperluan penting dalam masyarakat sekolah. Untuk itu saya
perlu mempunyai maklumat yang lengkap supaya program yang saya atur benar-benar
berkesan.
? Pengumpulan maklumat
Penganalisisan maklumat perlu bagi dan penentuan jenis keperluan bimbingan
dan kaunseling di sekolah. Sumber maklumat seperti kad 001 (M), surat pekeliling
pentadbiran dan polisi kerajaan, profil guru-guru, inventori kemudahan
sekolah, bahan-bahan bacaan dan rujukan, pakar rujuk dan kejadian yang
berlaku di sekitar.
? Maklumat dikumpul secara pemerhatian, rujukan, tinjauan
keperluan – meninjau pendapat Pengetua, guru, pakar-pakar perancangan pendidikan,
ibu bapa dan pelajar
Peranan
Peranan yang boleh dimainkan sebagai seorang kaunselor mestilah berlandaskan
pengetahuan bimbingan dan kaunseling yang tepat supaya mampu menangani
masalah di sekolah dan berjaya menghidupkan fungsi sebenar bimbingan dan
kaunseling di sekolah menengah. American School Counselor Association (ASCA)
telah menggariskan tanggungjawab profesional kaunselor sekolah seperti
berikut:
1. Menolong penuntut untuk memahami dirinya dalam hubungannya dengan
dunia sosial dan psikologi di tempat dia berada. Ini bermakna menolong
penuntut untuk memahami sikap, minat, bakat, kebolehan, peluang-peluang
untuk penyempurnaan kendiri dan hubungan-hubungan di antara yang tersebut
di atas.
2. Menolong penuntut untuk bertingkahlaku yang sesuai dengan bakat,
minat, sikap, kebolehan dan peluang untuk penyempurnaan kendiri.
3. Menolong penuntut mencapai keperluan untuk mengembangkan keupayaan
membuat keputusan sendiri.
4. Membantu semua kakitangan sekolah untuk memahami perlunya orang
perseorangan dan memberi maklumat tambahan dan bantuan perundingan bertujuan
untuk membantu supaya lebih memahami lagi tentang penuntut.
5. Menentukan atau mempastikan pengaruh program sekolah ke atas pelajaran
perkembangan psiko-sosial penuntut dan menyampaikan maklumat untuk kakitangan
lain.
6. Memberitahu kakitangan yang lain tentang perubahan-perubahan yang
signifikan di sekolah yang memberi kesan dengan perkembangan program yang
berkaitan.
7. Membantu ibu bap untuk memahami kemajuan pengembangan anaknya, keperluan-keperluannya
dan peluang-peluang lain sekelilingnya; bertujuan untuk menambahkan kebolehan
memberi sumbangan kepada perkembangan anak mereka sendiri.
8. Membuat interpretasi kepada komuniti pentingnya hal bertimbang rasa
untuk individu dan memberi sumbangan kepada program kaunseling sekolah.
9. Membantu melancarkan di dalam masyarakat peluang-peluang lain yang
perlu untuk perkembangan penuntut.
10. Mengguna atau membantu melancarkan rekabentuk sumber-sumber masyarakat
bagi memenuhi segala keperluan penuntut yang ekstrem atau yang tidak lazim
serta luar tanggungjawab sekolah.
Rancangan
Antara rancangan-rancangan aktiviti yang boleh dilakukan sebagai seorang
kaunselor di sekolah menengah ialah :
A. Mengemaskinikan stuktur organisasi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling
di sekolah. Dengan kerjasama pentadbir dan kemudahan kakitangan guru yang
ramai di sekolah menengah, kaunselor akan menyusun struktur organisasi
bimbingan dan kaunseling seperti pelarasan tugas dan pengendalian program
bimbingan dan kaunseling di sekolah menengah di Malaysia.
B. Menggerakkan semua tenaga di sekolah. Sebagai kaunselor di sekolah
menengah ia berperanan menggerakkan semua tenaga pentadbir, guru, kakitangan
sekolah dan pelajar sendiri bagi menjayakan aktiviti bimbingan dan kaunseling
di sekolah. Aktiviti bimbingan dan kaunseling dapat berjalan dengan lancar
sekiranya kaunselor mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak tersebut
termasuk masyarakat luar sekolah dan ibu bapa. Jika pihak di atas tidak
memahami peranan masing-masing adalah menjadi tanggungjawab kaunselor untuk
menerangkan kepada mereka.
Pengetua adalah
kunci utama dalam menentukan berjaya atau gagalnya program bimbingan dan
kaunseling di sekolah. Pengetua bertanggungjawab memberi kepemimpinan yang
berkesan; menyediakan kakitangan, peruntukan, kewangan dan kemudahan, menyokong
guru-guru mewujudkan program bimbingan dan menggalakkan pelajar menggunanya,
dan memberi maklumat kepada masyarakat tentang program ini melalui Persatuan
Ibu Bapa dan Guru. Kerjasama kaunselor dan pengetua lebih menjelaskan kepada
warga sekolah atau masyarakat fungsi bimbingan dan kaunseling di sekolah.
Pembantu kaunselor
ialah guru terlatih yang telah menerima pendedahan kaunseling. Bantuan
mereka adalah penting dalam melaksanakan program bimbingan dan kaunseling
di sekolah. Mereka boleh melaksanakan tugas-tugas bagi membantu kaunselor
seperti senarai di bawah:
1. Membantu mengendalikan inventori individu dan rekod.
2. Membantu dalam perkhidmatan memberi maklumat.
3. Membantu dalam perkhidmatan bimbingan kelompok.
4. Membantu dalam perkhidmatan kaunseling.
5. Membantu dalam program perkhidmatan penempatan penuntut.
6. Membantu program pencegah salah guna dadah.
7. Membantu dalam perkhidmatan perundingan dan rujukan.
8. Membantu dalam perkhidmatan penyelarasan resos.
9. Membantu dalam perkhidmatan penilaian.
10. Menjadi guru penasihat Kelab Bimbingan.
Mereka juga boleh membuat tugasan lain seperti membuat pesanan dan
membuat stok bahan-bahan bimbingan, membantu menghasilkan bahan-bahan bimbingan
seperti poster-poster dan mengurus alat pandang dengar di bilik bimbingan
jika ada. Ia dapat meringankan beban tugas kaunselor di sekolah menengah.
Guru-guru lain
di sekolah juga memainkan peranan penting dalam kegiatan bimbingan yang
sebenar di dalam kelas. Mereka selalu berada dalam situasi yang membolehkan
wujudnya hubungan yang erat dan mesra dengan pelajar. Hubungan guru yang
lebih mesra di dalam kelas membantu kaunselor menangani masalah pelajar
dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Peranan Pembimbing
Rakan Sebaya penting berdasarkan andaian psikologi remaja bahawa
anak-anak belasan tahun berpaling kepada kelompok sebaya untuk mendapat
sokongan emosi. Sebagai kaunselor saya perlu melibatkan pelajar yang dipilih
diberi latihan untuk membantu menggerakkan perkembangan diri yang berkesan
dan sistematik di kalangan rakan-rakan serta menolong mereka membina kemahiran
menghadapi sebarang desakan. Pembimbing rakan sebaya bukan individu yang
memberi nasihat dan menyelesaikan masalah orang lain. Dia adalah
seorang pendengar yang peka dan menggunakan kemahiran-kemahiran berkomunikasi
untuk menolong rakan mereka.
C. Perkhidmatan Sebaran
Perkhidmatan ini merupakan satu proses atau tindakan mengiklankan sesuatu
barangan atau perkhidmatan. Tujuannya untuk membuat publisiti tentang barangan
atau perkhidmatan tersebut dengan harapan supaya masyarakat menggunakannya.
Proses atau tindakan ini boleh dilaksanakan melalui media bertulis , media
elektronik dan secara lisan. Terdapat dua kaedah untuk melaksanakan perkhidmatan
sebaran di sekolah-sekolah.
1.Secara langsung atau bersemuka, melalui:
Ceramah, Perhimpunan Mingguan, Mesyuarat Guru, Persatuan
Ibubapa Dan Guru (PIBG), Majlis Bimbingan Daerah, Hubungan Personal
dengan Ketua Kelas, Kelab Bimbingan dan Kaunseling.
2. Secara tidak langsung atau tidak bersemuka, melalui
Poster , Risalah, Pemeran, Majalah Sekolah , Kad-Kad Perkhidmatan,
Penerbitan-penerbitan Kelab atau Persatuan, Radio Sekolah.
D. Menjalankan program-program bimbingan dan
kaunseling yang terancang seperti di bawah:
a. Bimbingan Perkembangan Personaliti-
kaunselor berperanan menentukan agar pelajar menanam perasaan dan kepercayaan
bahawa dirinya berkebolehan dan dihargai. Kaunselor juga bertanggungjawab
menyebarkan maklumat tentang tingkat-tingkat perkembangan individu, dan
maklumat untuk memahami tingkah laku remaja. Program atau kursus motivasi,
kemahiran berkomunikasi dan perkembangan konsep kendiri dianjurkan.
b. Bimbingan Perkembangan Kerjaya- Kaunselor berperanan menyediakan pelajar dengan dunia pekerjaan. Kaunselor menyusun dan melaksanakan program-program seperti kursus kerjaya, lawatan kerjaya dan latihan temuduga untuk membolehkan palajar mempelajari hal-hal diri supaya pilihan bidang kerjaya yang sesuai dapat dibuat. Kaunselor bertanggungjawab mengumpul maklumat berkenaan kerjaya serta peluang-peluang pengajian tinggi dan latihan yang diperlukan.
c. Bimbingan dan Perkembangan Pembelajaran- Pelajar diberi bimbingan untuk menjaga prestasi pencapaian akademiknya. Kaunselor berperanan memotivasikan pelajar-pelajar yang kurang yakin tentang kebolehan diri, yang sengaja menggagalkan diri dan yang telah berputus asa dengan pencapaian akademik mereka. Kaunselor juga berperanan dalam membimbing pelajar memperoleh kemahiran belajar, cara-cara mengawal tekanan, kemahiran mengurus masa dan teknik belajar berkesan dan menjawab peperiksaan. Khemah atau perkampungan akademik biasanya dibuat di luar sekolah untuk memberi persekitaran yang lain kepada pelajar dan bukan persekitaran sekolah yang mereka anggap membosankan.
d. Bimbingan Penyesuaian Diri- kaunselor berperanan memberi persediaan kepada pelajar menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru. Minggu Siratulrahim diperkenalkan kepada pelajar tingkatan satu selama seminggu dan Minggu Pengurusan kepada pelajar tingkatan empat. Tujuannya supaya pelajar dapat menyesuaikan diri dengan sekolah, persekitaran, budaya dan pelajaran-pelajaran baru.
e. Bimbingan Tingkah laku – kaunselor di sekolah menengah selalu dimintakan menyelasaikan masalah disiplin pelajar. Pihak disiplin sekolah menolak pelajar yang melakukan kesalahan disiplin berulangkali kepada kaunselor untuk diselesaikan. Melalui kaunseling individu atau kelompok pelajar berkenaan diminta mengubah sikap mengikut peraturan sekolah.
f. Perkhidmatan Kaunseling- Kaunselor memberi
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling secara individu atau kelompok. Ini
bertujuan untuk membolehkan pelajar memahami keadaan dan memperolehi keupayaan
untuk bertindak mengatasi ketidakselesaan yang dialaminya.
Selain itu juga perkhimatan kaunseling juga memberi perkhidmatan pakar
runding kepada guru-guru yang sentiasa menghadapi isu-isu berkaitan
dengan tingkahlaku pelajar, perhubungan pelajar dan hal-hal perkembangan
personaliti pelajar-pelajar di sekolah.
Aktiviti-aktiviti/Program Tahunan
Terdapat empat objektif am dalam menjalankan program yang saya rancang.
Pertama memberi khidmat penyuburan dan pengkayaan yang meliputi semua aspek
seperti bakat, kepimpinan, kemahiran, personaliti dan sebagainya. Objektif
kedua pula ialah memberi khidmat pencegahan seperti salahlaku, tidak berdisiplin
dan penyalahgunaan dadah. Objektif ketiga ialah pembaikan dan pemulihan
seperti mengalami masalah peribadi, pelajaran dan sosial serta objektif
terakhir ialah memberi khidmat kaunseling krisis.
Program yang dirancang ialah:
1. Pendedahan Unit Bimbingan Kaunseling
- memberi penerangan secara ringkas peranan unit ini dan guru-guru
yang terlibat. Tujuaannya ialag supaya pelajar mengenali dan pengetahuan
peranan tersebut dan memblehkan mereka mendapat manfaatnya. Program ini
dijalankan semasa Minggu Orientasi Tingkatan Satu. Ibu bapa juga akan diberi
taklimat dalam program ini.
2. Program Didikan Kasih dan Mesra - pengisian program ini ialah dengan memberi ceramah agama, penerangan tentang akademik, pemainan dan kauseling dan permainan di padang. Ini memupuk hubungan yang baik di antara guru dan pelajar-pelajar di samping mengembangkan bakat pelajar.
3. Kaunseling Individu - menjalankan proses kaunseling kepada pelajar yang mempunyai masalah sama ada mereka datang sendiri ataupun yang dirujuk oleh guru lain. Masa program ini aldah berterusan sepanjang tahun.
4. Kaunseling Kelompok - menjalankan proses kaunseling secara berkelompok kerana mempunyai masalah yang sama. Perkara yang umum dibincangkan ialah pemilihan aliran dan elektif, hubungan dengan rakan sebaya, masalah pelajaran dan sebagainya.
5. Minggu Kerjaya - mempamerkan maklumat mengenai kerjaya seperti, kelayakan, tempat latihan, prospek dan sebagainya. Faedahnya, pelajar mengetahui perkara yang seharusnya mereka lakukan untuk mencapai kerjaya yang diidamkan.
6. Kempen Sekolahku Rumahku - Memupuk semangat cintakan sekolah. Ini menggalakkan pelajar menjaga kebersihan, mengindahkan dengan dengan pokok-pokok bunga dan mural. di samping dapat mengurangkan sikap vandalisme seperti memecah meja dan kerusi, mencuri harta dan merosakkan pagar sekolah.
7. Kegiatan Seni Anti Dadah - Membuat persembahan kebudayaan yang bertemakan anti dadah. Contohnya ialah mengadakan pertandingan deklamasi sajak, boria, dikir barat, kuiz, pertandingan melukis poster dan lain-lain.
8. Menyimpan rekod - menyedia dan menyimpan rekod peribadi pelajar untuk kegunaan kaunselor, guru kelas dan pentadbir sekolah
9. Program Motivasi PMR dan SPM - program yang dijalankan untuk membantu pelajar menghadapi peperiksaan. Ini bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar akan kepentingan peperiksaan dan tindakan yang sewajarnya mereka ambil untuk menghadapi peperiksaan .
10. Bengkel Teknik Menjawab Soalan SPM - Mendedahkan kepada para pelajar teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul.
11. Program Selepas PMR - Menjalankan pelbagai pertandingan seperti sukan dan permainan, pertandingan syarahan, nasyid, kuiz, deklamasi sajak ceramah teknik dan vokasional, kesihatan, undang-undang jalanraya dan sebagainya.
Sebagai kaunselor seharusnya mengambilkira perkhimatan kaunseling merupakan
satu perkhidmatan yang profesional, maka kaunselor haruslah mengikuti prinsip-prinsip
dan etika tertentu semasa berurusan dengan klien, guru-guru dan pentadbir.
Menurut Roeber, Smith dan Erickson (1955), panduan-panduan di bawah
boleh digunakan oleh kaunselor semasa menjalankan tugas mereka di
sekolah.
Kod etika Kaunselor/Guru Bimbingan
1. Seorang kaunselor, dalam menghormati martabat setiap klien memberi
kepadanya taat setia. Guru bimbingan menerima tanggungjawab untuk
menjaga perhubungannya yang rahsia dengan kliennya
2. Seorang kaunselor akan menerima sesiapa sahaja yang datang untuk
mendapat bantuan daripadanya. Namun begitu dia tidaklah sampai membenarkan
permintaan terhadap perkhidmatannya itu boleh mengurangkan kualiti perkhidmatannya.
3. Seorang kaunselor secara aktif memperkembangkan konsep kaunseling
sebagai kerjaya. Beliau cuba mengelakkan mereka yang tidak berkemampuan
daripada menjalankan kaunseling.
4. Kaunselor patut mendapat kerjasama dan bantuan daripada kakitangan
dan pentadbir lain untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling yang diperlukan
oleh sekolah.
5. Jika perlu, kaunselor hendaklah merujuk klien kepada pihak yang
sesuai. Jika ini dilakukan, kaunselor perlulah selalu membuat rujukan untuk
mempastikan klien tersebut menerima kaunseling berterusan.
6. Sebagai salah seorang kakitangan sekolah, kaunselor hendaklah menerima
tanggungjawab melaksanakan tugas-tugas lain secara umum. Jika tugas tersebut
mencampuri tugasnya sebagai kaunselor, kaunselor boleh menolak tugas itu
dengan bijaksana.
7. Kaunselor perlu untuk terus berkembang dari segi kerjayanya. Dia
hendaklah berusaha menambah pengetahuannya untuk membaiki lagi perhidmatannya.
8. Kaunselor mencari dan mendapat pekerjaan berdasarkan kelayakan.
9. Kaunselor perlulah mengekal hubungan aktif dalam kumpulan atau kumpulan-kumpulan
profesional yang lain.
10. Kaunselor perlu melibatkan diri secara berterusan dalam penyelidikan
untuk pertumbuhan peribadinya atau perkembangan kerjayanya.
11. Kaunselor patut menilai kerja-kerjanya dari semasa ke semasa.
Masalah-Masalah
Sebagai kaunselor seharusnya mengambil tahu masalah-masalah yang mungkin
dihadapi yang menghalang perlaksanaan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah
menengah. Walaupun dipercayai guru yang dipertanggungjawabkan sebagai guru
bimbingan atau kaunselor mampu menjalankan tugas dengan baik, tidaklah
dapat dinafikan kaunselor akan menghadapi pelbagai rintangan dalam melaksanakan
tugasnya.
Mengenalpasti masalah yang bakal dihadapi dapat membantu saya
sebagai kaunselor menghadapi rintangan dengan mudah supaya segala perancangan
yang dicadangkan dapat berjalan dengan lancar.
Antara masalah yang dihadapi bagi menjalankan program kaunseling
di sekolah menengah:
Bilik Bimbingan Dan Kaunseling
Keberkesanan kaunseling bergantung juga pada keadaan dan tempat kaunseling
itu dijalankan. Satu temuduga kaunseling tidak boleh dijalankan di bilik
guru, di kantin, di bawah pokok ataupun di dalam kelas. Sesi ini mestilah
diadakan di suatu tempat yang khas, walaupun tidak istimewa. kaunselor
mesti mempastikan terdapat satu bilik khas bagi menjalankan sesi temuduga
supaya tugas sebagai kaunselor dapat berperanan sebagai guru bimbingan
yang berkesan.
Jika masih tidak terdapat bilik bimbingan dan kaunseling kaunselor
perlu berbincang dengan pihak pentadbir sekolah bagi menyediakan bilik
bimbingan dan kaunseling di sekolah tersebut.
Penutup
Peranan kaunselor di sekolah amatlah luas dan memerlukan kemahiran,
masa dan dalam banyak keadaan, wang ringgit. Kaunselor akan dapat menjalankan
tugas-tugas dengan berkesan jika diberi peluang untuk mengemukakan cadangan,
peruntukan waktu dan sokongan dari seluruh kakitangan. Jika mereka diberi
beban tugas yang lain, kemungknan besar mereka tidak dapat menjalankan
khidmat bimbingan dan kaunseling di sekolah sebagaimana sepatutnya.